Friday, May 1, 2009

Nilai Hartanah Mewah Dijangka Stabil Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) — Nilai hartanah mewah yang mengalami penurunan sebanyak lima hingga 15 peratus berikutan kelembapan ekonomi semasa, mungkin stabil apabila ekonomi pulih tahun depan, demikian menurut peserta industri.

“Harga hartanah mewah akan kembali baik tahun depan, apabila keadaan ekonomi kembali pulih. Kami menjangka ia akan sama ada stabil atau tidak berubah. Ia tidak akan turun lagi tetapi meningkat secara perlahan-lahan,” kata Ho Chin Soon daripada Ho Chin Soon Research Sdn Bhd pada forum Pelaburan Hartanah 2009 anjuran The Edge di sini, Sabtu.

Beliau berkata walaupun dalam keadaan ekonomi semasa, beberapa hartanah mewah tetap mendapat harga yang baik, dengan memberi contoh di kawasan KLCC yang naik sehingga lebih 15 peratus.

Ho berkata walaupun permintaan keseluruhan untuk hartanah mewah menurun, keadaan dijangka pulih sendiri.

“Banyak pemaju menangguhkan pelancaran mereka, supaya kurang penawaran dan selepas tempoh tertentu, keadaan permintaan dan penawaran akan memperbetulkan kedudukannya dengan sendiri,” katanya.

Menurut Ho, pemaju akan biasanya menukar susun atur mereka semasa kelembapan ekonomi bagi menawarkan lebih banyak hartanah mewah bagi memastikan operasi mereka berjalan.

Hasilnya, permintaan bagi hartanah kos rendah dan pertengahan kekal stabil walaupun keadaan ekonomi semasa, katanya.

Ho berkata penurunan kadar faedah baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia dijangka merangsang permintaan terhadap hartanah, terutamanya hartanah kos rendah.

“Semasa keadaan seperti ini, beberapa pemaju menukar susun atur mereka kepada lebih banyak hartanah kos rendah. Bila keadaan stabil, mereka kembali kepada hartanah mewah bagi memenuhi permintaan hartanah sedemikian,” katanya.

Bagi hartanah kos rendah, Ho berkata: “Daripada Oktober tahun lepas hingga bulan lepas, kita tidak melihat aliran menurun. Permintaan masih kukuh.”

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails