Wednesday, April 8, 2009

Langganan Sukuk Simpanan Rakyat mulai 14 April

Bank Negara akan mengeluarkan bon, petanda awal inflasi akan melanda!

LANGGANAN bagi Sukuk Simpanan Rakyat, iaitu instrumen pelaburan tambahan bagi rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas akan dibuka dari 14 April hingga 13 Mei depan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya di Kuala Lumpur semalam berkata, Bank Negara Malaysia bagi pihak kerajaan akan menerbitkan siri pertama daripada dua siri sukuk berjumlah RM5 bilion yang akan diterbitkan pada 2009, pada 14 Mei ini.

Setiap siri terbitan sukuk dengan tempoh matang selama tiga tahun itu adalah sebanyak RM2.5 bilion.


Kementerian itu berkata, sukuk tanpa skrip berlandaskan syariah itu menawarkan pulangan 5.0 peratus setahun, dan pelabur diberikan keanjalan untuk membuat penebusan awal sebelum tarikh matangnya.

Pelaburan minimum dalam sukuk itu ialah RM1,000 dengan jumlah maksimum RM50,000 bagi setiap pelabur.

Pegangan agregat maksimum setiap pelabur bagi kedua-dua siri sukuk itu ialah RM50,000.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya itu berkata, sukuk itu boleh dilanggan di semua bank komersil dan bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd, Bank Simpanan Nasional dan Bank Pertanian Malaysia Bhd.

Peruntukan bagi sukuk itu berasaskan 'siapa cepat dia dapat' dan pemohon yang berjaya akan diberitahu oleh bank ejen masing-masing.

Pembayaran pulangan akan dilakukan setiap suku tahun melalui akaun pemegang sukuk berkenaan di bank ejen masing-masing.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai sukuk itu boleh menghubungi Telelink Bank Negara di nombor telefon 1300-88-5465 atau layari laman web www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuksimpanan.

sumber bharian

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails