Monday, August 10, 2009

Terbitan Sulung Bon Dolar Emas dan Sukuk Dolar Emas oleh Petronas

Bank Negara Malaysia dengan sukacita mengumumkan terbitan sulung bon USD 3.0 bilion dan sukuk USD 1.5 bilion oleh Petronas dengan menggunakan gelaran "Emas". Perkataan "Emas" yang berasal daripada perkataan Melayu melambangkan nilai sejagat dan keselamatan. Gelaran "Emas" akan diberikan bagi terbitan dalam denominasi mata wang asing dan ini akan menyerlahkan lagi pasaran Malaysia sebagai tempat pemerolehan dana oleh syarikat tempatan dan asing.

Terbitan oleh Petronas, yang dibuat dalam keadaan pasaran kewangan yang mencabar, adalah amat berjaya dan menarik minat yang meluas daripada bilangan pelabur yang besar. Terbitan ini merupakan terbitan USD terbesar oleh entiti Asia selain di Jepun pada tahun ini. Terbitan ini memperlihatkan kewibawaan Malaysia sebagai pusat terbitan bukan sahaja untuk bon dan sukuk Ringgit, tetapi juga untuk terbitan bon dan sukuk dalam denominasi mata wang asing. Di Malaysia, komponen sukuk telah berkembang menjadi lebih besar daripada bon konvensional. Pada masa ini, Malaysia merupakan peneraju global dalam terbitan sukuk, mencakupi 62% daripada jumlah terkumpul sukuk global.


Memandangkan pasaran bon kita semakin matang, kini sudah tiba masanya untuk Malaysia menawarkan jenamanya sendiri bagi membezakan antara bon dalam denominasi mata wang asing dengan sukuk yang diterbitkan dari Malaysia dalam pasaran modal global.

Bank Negara Malaysia
10 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails